Dalam entri yang lepas, saya baru je share yang dapatlah bila adik-beradik dan mak ayah beri duit, bolehlah buat modal untuk berniaga. Nak jual kek macam biasa, rasa macam jaman PKP ni, tak sesuai pulak jual makanan yang bukan makanan asasi. Yelah, kek tu macam dessert kan? Tambahan pula, group Masak Apa Hari Ni meriah dengan perkongsian masakan yang viral-viral, ada jugak komen-komen dari luar negara yang mengkritik bahawa kita seharusnya menyimpan stok makanan, bukan dibazirkan dengan memasak makanan-makanan viral yang mewah.
Disebabkan tak pernah menghadapi pandemik sebelum ni, rasa macam munasabah jugaklah kalau bekalan terputus. Terima kasih jugaklah pada kerajaan Malaysia sebab memang selalu disebut-sebut masa sidang media yang bekalan makanan mencukupi. Kalau tak, mungkin negara kita akan mendapat bilangan COVID-19 yang tinggi kalau orang dah berasak-asak ke kedai sebab pembelian panik.
Berbalik pada perniagaan tu, saya ingat pizza lah yang paling sesuai sebab makanan yang ringkas, kalau mak ayah bekerja pun, anak-anak boleh panaskan sendiri. Maka bermulalah episod mencari bahan-bahan. Ya robbi, benda yang selalunya mudah, menjadi susah. Personal shopper tumbuh macam cendawan namun kita yang tak pernah gunakan khidmat PS rasa macam was-was sama ada semua PS tu jujur atau tidak. Selagi tak nampak mereka berswafoto dengan barang-barang, agak susah nak percaya kecuali PS yang disyorkan oleh jiran. Beratur di luar kedai bahan bakeri juga agak lama sampai berejam hanya untuk mengetahui yang parutan keju habis. Stok daging kisar pun habis. Macam main sorok-sorok pula, bila ada daging, keju tak ada, begitulah sebaliknya. Duit modal yang sepatutnya cukup sudah pun dibazirkan sebab sebahagian stok makanan dah habis, sebahagian pula sudah dibeli, tak boleh jual juga.
Akhirnya terpaksalah saya akur dengan keadaan yang begitu drastik. Saya berhenti berfikir tentang berniaga, saya gunakan duit yang ada untuk keperluan makanan harian dan laburkan sedikit untuk membeli para untuk mengemas alatan bakeri saya yang menimbun. Kenapa? Saya terpaksa lakukan apa yang boleh saya lakukan supaya minda saya tetap positif. Saya mengemas. Bab mengemas ni lah yang paling saya tak berapa minat.
Sudahnya, saya cabar diri saya dan mengajak keluarga mengemas bakeri virtual kami dan belajar menyunting video. Alhamdulillah.. saya kongsi di sini..
Tunggukan kesudahan apa yang terjadi seterusnya selepas PKP berakhir...
Baca entri #1 di sini
#cabaranmenulis100%melayu
No comments:
Post a Comment