Malu jugak bila Ustaz Zamri guna metafor.. Katakan ada satu sahaja supermarket yang buka, supermarket tu dihiasi dengan lampu yang terang-menderang, jalan nak ke supermarket tu pun diterangi dengan lampu seterang-terangnya, sale sampai berapa percent, kedai lain tutup pulak tu.. tapi kita tidak terpanggil untuk pergi.. kan rugi..
Macam tu jugak dengan ramadhan.. Allah permudahkan jalan ke syurga, diberi pahala berganda-ganda, dan diberi satu malam yang sungguh istimewa tapi kalau kita tidak terpanggil untuk beramal, maknanya kata ustaz lagi, kita tidak berminat untuk ke syurga.
Ouch.. sambil tersenyum je ustaz tu bercerita tapi terasa..
Kata ustaz lagi, Lailatul Qadar bermula selepas maghrib sehingga ke subuh hari berikutnya. Apabila berlakunya Lailatul Qadar, malam akan jadi tenang, matahari pada hari berikutnya bewarna pudar sahaja. Siapa yang mendapat Lailatul Qadar yang ternampak perubahan pada dirinya. Ada yang bertanya apa yang patut dilakukan apabila mendapat Lailatul Qadar.. Rasulullah pernah mengajar Saidatina A'isyah doa ini..
Allahumma innaka 'affuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku.
Kalau tak tahu bahasa arabnya, minta saja ampun dengan Allah.. dengan harapan, Allah mengampunkan kesemua dosa kita.
Antara amalan yang boleh dilakukan apabila qiamullail adalah:-
1. Solat Sunat Taubat 2,4,6 rakaat. (surah bebas)
Doa yang dianjurkan selepas solat sunat taubat.
Aku memohon keampunan kepada Allah yang Maha Agung. Aku mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang Hidup, yang sentiasa mengawasi. Aku memohon taubat kepadaNya sebagaimana taubatnya seorang hamba yang banya melakukan dosa, yang tiada daya dan upaya bagi dirinya untuk berbuat mudharat atau manfaat untuk mati atau hidup, mahupun bangkit semula setelah mati.
2. Solat Sunat Hajat (2/4/6..12 rakaat)
Rakaat Pertama - Al-Fatihah + Ayat kursi 7 x / Al-Kafiruun 7 x
Rakaat Kedua - Al-Fatihah + Al-Ikhlas 11 x
Doa Selepas Solat Sunat Hajat
Tiada Tuhan melainkan Alah, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Maha Suci Allah, Tuhan yang menjaga Arasy yang Maha Agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan alam semesta. KepadaMulah aku memohon sesuatu yang mewajibkan rahmatMu dan sesuatu yang mendatangkan keampunanMu dan memperolehi keuntungan pada setiap dosa. Janganlah Engkau biarkan dosa pada diriku, melainkan Engkau ampuni dan tidak ada sesuatu kepentingan melainkan Engkau tunjukkan jalan keluarm dan tidak pula sesuatu hajat yang mendapat kerelaanMu, melainkan Engkau perkenankan. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga Allah memerkenankan doa ini.
Mohonlah apa yang dihajati sambil bersujud dan perbanyakkan bacaan doa Nabi Yunus,
Laa ila ha illaa anta subhaa naka inni kuntumminadzolimiin..
Tiada Tuhan melainkan Engkau ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini dari golongan orang yang aniaya.
3. Solat Sunat Tahajjud - (2 rakaat)
Rakaat pertama - al-Fatihah + Ayat kursi 7 x
Rakaat kedua - al-Fathiah + Surah al-Ikhlas 11 x
Sujud terakhir -
- Ya haiyu ya qayyum birahmatikas ta ghiithu laa ila ha illa anta 40 x
- Allahumma sholli 'ala saiyidina muhammad wa 'alaa aalihi wa shohbihi wasallim 10 x
- Ya ka fii Ya ghanii Ya fattaa hu Ya rozaq 33 x atau 313 x
Sekiranya mahu menambah
- Laa ilaaha illallah 100 x
Doa Solat Sunat Tahajjud
Ya Allah! BagiMu segala kepujian. Engkaulah Tuhan yang menegakkan langit dan bumi, alam semesta serta segala isinya. BagimMu segala kepujian, bagiMu segala kekuasaan di langit dan di bumi, alam semesta dan segala isinya. BagiMu segala kepujian, Tuhan cahaya langit dan bumi. BagiMu segala kepujian, Engkau Tuhan yang benar dan janjiMu adalah benar. Syruga adalah benar dan neraka adalah benar dan para nabi itu adalah benar. Nabi Muhammad SAW adalah benar dan kiamat itu adalah benar. Ya Allah! KepadaMu aku berserah dan kepadaMu aku berhukum. Ampunilah aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan kesalahan yang sebelumnya. Sama ada kesalahan itu, kesalahan yang terang mahupun yang tersembunyi. Sesungguhnya Engkaulah yang terdahulu dan Engkaulah yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.
Akhir sekali banyakkan beristighfar.Ada yang bertanya, bagaimana pula wanita yang haidh dan nifas. Ustaz kata lagi cukuplah sekadar berzikir dan beristighfar.. Allah itu kan Maha Adil!
Semoga kita mendapat Lailatul Qadar... Semoga kita diberi kekuatan dan semangat untuk melakukan ibadah.. Paling-paling pun.. lakukanlah solat tarawikh, solat sunat yang memang boleh dilakukan selepas tarawih (kecuali tahajjud - kena tidur dulu!). Dan yang paling mudah sekali, bangun sahur, masak nasi, dan sementara menunggu nasi masak, sembahyanglah sunat taubat memohon keampunan Allah.
Solat-solat dipetik dari:
Amalan Sepanjang Hayat - Ustaz Ismail Kamus
Bimbingan Penghayatan & Kesempurnaan Solat - Ustaz Johari Yaman, Penerbitan Nadi Minda.
No comments:
Post a Comment