Tuesday, September 8, 2009

Tegur Biarlah dari Hati bukan kerana Hati

Pelik je bunyi tajuk ni kan? Memang pelik.. Kadang-kadang kita ni banyak menegur orang silap itu ini. Selalunya bila kita menegur.. kita akan ambil risiko. Banyak yang akan kecil hati, ada yang sakit hati, jarang sekali orang berterima kasih pada kita walaupun pada hakikatnya bukan senang kita nak menegur orang.

Sebenarnya cara yang terbaik adalah menegur dari hati.. Bila nak menegur orang, kena tengok apa niat kita menegur tu. Adakah kerana kita dah tak tahan tengok dan sakit hati, atau pun kira rasa kalau kita tegur, orang itu akan jadi lebih baik, atau pun kita kasihan melihat orang yang kita nak tegur tu buat kesilapan atau pun kita menegur semata-mata kerana Allah.

Bukan senang nak tegur orang. Bak kata orang dulu-dulu, berhati-hati menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak. Kalau nak tegur, biarlah mesejnya sampai, hati tak sakit, tak timbul pulak masaalah lain.

Cara yang akan menentukan segalanya. Sendiri pernah ditegur oleh anak murid saya bila saya menyebut perkataan dengan salah. Tapi saya sendiri tak perasan yang sebenarnya saya ditegur oleh anak murid sendiri! Saya tabik dia! Saya puji dia depan kelas dan saya belajar dari dia.

Kadang-kala, ada yang menegur sebab tak puas hati. Jadi untuk melegakan sakit hati, bertubi-tubi dia meluahkan perasaan sambil menegur. Akhirnya orang yang ditegur kecil hati, mesej tak kesampaian, kita sendiri pun tak tau apa yang dicakap sebab dek syok sendiri.

Ada pula yang main perli.. Lalu je orang yang nak ditegur tu, sindir sana, sindir sini. Orang yang disindir tak faham, orang yang menyindir tambah sakit hati. Sebenarnya, cara perli ni dah lapuk la. Kalau nak tegur orang, tak payahlah main sindir-sindir. Buat tambah dosa saja.

Yang paling penting, kalau menegur, biarlah kerana Allah, semata-mata kerana Allah. Bila kita menegur, biarlah dengan berhikmah. Saya teringat rakan baik saya yang menegur dalam mesyuarat guru apabila guru-guru lain tidak puas hati dengan sikap pengawas. Dia bangun dan terus berkata dengan suara yang begitu lemah-lembut, "Kita ni kalau nak tegur, biarlah dengan cara yang berhikmah, cikgu semua kena ingat pengawas ni kita tak bayar apa-apa pun, mereka ni tolong je guru-guru". Guru-guru yang 'komplen' kebanyakannya tertunduk malu.

Masa menegur juga penting.. Janganlah ambil peluang nak menegur 'ikut dan' je. Tunggulah masa yang sesuai. Kadang-kala nak menegur tu kena tangguh lama baru boleh tegur. Janganlah menegur bila kita tengah marah. Diam dulu. Bila kedua-duanya dalam mood yang baik, barulah ambil peluang menegur.

Jangan pula menegur bila orang tengah bersuka-ria. Takut-takut anti-klimax pulak. Apa-apa cerita pun, biarlah kita betulkan niat.. Sebelum kita menegur.. tengoklah dulu diri sendiri. Jangan tuding satu jari kat orang, 4 jari menuding kat diri sendiri. Insyaallah, kalau menegur ikhlas kerana Allah, semuanya akan berjalan lancar. Kalau tak boleh tegur dengan cara yang betul, biarlah kita tegur sahaja di dalam hati. Itulah selemah-lemah iman. Jangan buat 'dek' sudahlah.

Yang ditegur pula, janganlah ambil hati. Mungkin orang yang menegur tu memang ikhlas.. Ambil masa untuk ubat hati bila ditegur tapi jangan buang apa yang ditegur. Mungkin ada benarnya. Cuma kita yang susah nak terima bila ditegur.

Sebelum orang terkecil hati dengan entry saya kali ni, biarlah saya menyusun jari memohon kemaafan.. Yang baik tu dari Allah, yang tidak.. dari diri saya sendiri.. Astaghfirullah..
Share/Bookmark

2 comments:

  1. kak wan suka entry kali ni....tegur biar bertempat dan kena caranya.

    ReplyDelete
  2. ish.. baru perasan komen ni.. 2 tahun dah hehehe

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails